Ringkasan AI
- NASA dan SpaceX melancarkan misi Crew-10 ke ISS untuk membawa pulang dua angkasawan NASA yang terperangkap sejak Jun lalu.
- Kapal angkasa berlepas menggunakan roket SpaceX Falcon 9 dan dijangka berlabuh di ISS dalam masa 28.5 jam.
- Misi Crew-10 membawa angkasawan dari NASA, JAXA, dan Roscosmos, sementara Crew-9 akan kembali ke Bumi selepas ketibaan Crew-10.
Kapal angkasa itu berlepas menggunakan roket SpaceX Falcon 9 dari Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida pada 7.03 malam waktu Timur, menurut siaran langsung NASA.
Kira-kira dua setengah minit kemudian, SpaceX mengesahkan pemisahan peringkat pertama Falcon 9.
Bahagian itu kemudian mendarat di Zon Pendaratan 1, berhampiran tapak pelancaran.
Kapal angkasa kini dalam perjalanan ke ISS dan dijangka mengambil masa sekitar 28.5 jam untuk berlabuh secara automatik di stesen angkasa, yang dijadualkan pada 11.30 malam Sabtu waktu Timur, menurut NASA.
Misi baharu yang diberi nama kod "Crew-10" membawa angkasawan NASA, Anne McClain dan Nichole Ayers, angkasawan Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA), Takuya Onishi, serta angkasawan Roscosmos, Kirill Peskov ke ISS.
Selepas ketibaan Crew-10 di makmal orbit itu, misi Crew-9 yang terdiri daripada angkasawan NASA Nick Hague, Suni Williams, Butch Wilmore, serta angkasawan Roscosmos, Aleksandr Gorbunov akan kembali ke Bumi.
Williams dan Wilmore sebelum ini terkandas di angkasa sejak Jun tahun lalu akibat masalah teknikal pesawat Starliner milik Boeing.
-- BERNAMA
