SANAA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melancarkan serangan ketenteraan terhadap kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman pada Sabtu.

Ia sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan itu ke atas kapal dagang di Laut Merah.

Trump memberi amaran keras kepada kumpulan Houthi agar menghentikan serangan mereka atau berdepan "hujan neraka".

Beliau turut memberi amaran kepada Iran, penyokong utama kumpulan itu, agar segera menghentikan sokongan kepada Houthi.

Trump menegaskan bahawa AS tidak akan berlembut jika Iran mengancam kepentingan negara itu.

Serangan tersebut merupakan operasi ketenteraan terbesar AS di Asia Barat sejak Trump memegang jawatan pada Januari lalu.

Ia juga dibuat ketika Washington meningkatkan tekanan sekatan terhadap tehran bagi memaksa negara itu kembali ke meja rundingan berhubung program nuklearnya.

Menurut pegawai AS, serangan yang dilancarkan pada Sabtu dilakukan sebahagiannya oleh pesawat pejuang dari kapal pengangkut pesawat USS Harry S Truman yang ditempatkan di Laut Merah.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh komando pusat tentera AS menyatakan bahawa serangan ini merupakan permulaan kepada operasi berskala besar di seluruh Yaman.

Trump juga memberi amaran bahawa AS akan menggunakan "kuasa maut yang luar biasa" sehingga matlamat mereka tercapai.

Sementara itu, Iran masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung serangan AS ke atas Yaman.

Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas Trump menghantar surat kepada pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bagi menggesa rundingan mengenai program nuklear Iran.

Namun, Khamenei menolak sebarang rundingan dengan AS.

Ketegangan semakin meningkat di rantau itu ketika Iran berdepan tekanan dalaman akibat kemarahan rakyat terhadap kesukaran ekonomi.

Sementara negara-negara barat terus memantau perkembangan program nuklear Iran yang dikatakan semakin hampir mencapai tahap untuk membangunkan senjata nuklear.