WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, akan melawat Amerika Syarikat tidak lama lagi, di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara dua ekonomi terbesar dunia akibat tarif yang dikenakan oleh Trump.

"Beliau (Jinping) akan datang dalam masa terdekat," kata Trump kepada wartawan ketika beliau melawat Pusat Seni Persembahan Kennedy di sini, pada Isnin, sambil bercakap mengenai pemimpin China itu.

Trump, bagaimanapun, tidak berkongsi butiran lanjut mengenai lawatan Presiden Jinping itu.

Minggu lalu, akhbar The Wall Street Journal melaporkan, Washington dan Beijing telah memulakan perbincangan mengenai kemungkinan sidang kemuncak pada bulan Jun di Amerika Syarikat.
Kedua-dua pemimpin itu menyambut hari lahir mereka pada bulan Jun.

Sejak kembali ke White House pada Januari lalu, Trump telah mengenakan tarif ke atas rakan dagang utama termasuk China, Kanada dan Mexico dengan alasan ketidakseimbangan perdagangan serta kegagalan mereka membendung aliran masuk fentanyl yang berbahaya.

China minggu lalu menggesa "dialog" dengan Washington.

Pada awal bulan ini, Trump menaikkan tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas produk China kepada 20 peratus.

Beijing membalas dengan mengenakan cukai sehingga 15 peratus ke atas pelbagai produk pertanian AS termasuk kacang soya, daging khinzir dan ayam.

China, pengeluar keluli terbesar dunia, juga berikrar untuk mengambil "semua langkah yang perlu" sebagai tindak balas terhadap tarif baharu AS ke atas keluli dan aluminium.

Presiden Jinping kali terakhir melawat Amerika Syarikat ialah pada November 2023, apabila beliau bertemu dengan pendahulu Trump dari Parti Demokrat, Joe Biden di California dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua kuasa besar itu. - Agensi