LONDON: Perdana Menteri baharu Kanada, Mark Carney memecah tradisi pada Isnin dengan mengunjungi Eropah dan bukan Amerika Syarikat untuk lawatan luar negara pertamanya sebagai pemimpin negara itu.

Sambutannya yang mesra di Perancis dan United Kingdom (UK) sangat berbeza dengan hubungan negaranya yang semakin renggang dengan jirannya di selatan.

Di Paris, Carney disambut oleh Presiden Emmanuel Macron dengan penuh keceriaan sebelum tiba di London, di mana beliau bertemu dengan Perdana Menteri UK, Keir Starmer, serta mengadakan pertemuan peribadi dengan Raja Charles III, yang juga ketua negara bagi Britain dan Kanada.

Bercakap dalam bahasa Perancis dan Inggeris pada sidang media bersama di Istana Élysée, Paris, Carney yang mengambil alih jawatan pada Jumaat lalu dan dikenali ramai pemimpin Eropah kerana pengalamannya sebagai seorang pegawai Bank Pusat memberitahu Macron, Kanada adalah "negara bukan Eropah yang paling Eropah" dan berjanji untuk menjadi "rakan kongsi yang boleh dipercayai, setia dan kuat" kepada Paris.

Macron pula memuji Kanada kerana berdiri "sebahu dengan Perancis dan Eropah" sambil berkata mengenai Carney: "Kami menyambut seorang sahabat dan kami menerima anda dengan penuh kegembiraan."

Presiden Emmanuel Macron (kanan) menyambut Perdana Menteri Kanada, Mark Carney di Paris pada Isnin. - Gambar Reuters


Hubungan Kanada-AS semakin renggang

Kemesraan Carney di Eropah berlaku ketika hubungan Kanada dengan Amerika Syarikat berada pada tahap paling buruk dalam sejarah moden, memaksa Kanada untuk mempertimbangkan semula pakatan antarabangsanya.

Sejak kembali ke White House, Trump telah mengenakan tarif berat ke atas ekonomi Kanada serta menegaskan negara itu sepatutnya menjadi negeri ke-51 Amerika dan sering merendahkan bekas Perdana Menteri, Justin Trudeau dengan memanggilnya sebagai "Gabenor" bukan "Perdana Menteri."

Selepas pertemuannya dengan Raja Charles, Carney menyifatkan cadangan Trump untuk ‘merampas’ Kanada sebagai "tidak masuk akal" dan "tidak menghormati."

Beliau juga menegaskan, Presiden AS itu perlu menghentikan kenyataan sedemikian "sebelum kami boleh duduk berbincang mengenai kerjasama lebih luas."

Carney turut mendedahkan Kanada sedang mempertimbangkan semula pembelian jet pejuang F-35 yang dibekalkan oleh AS dan telah berbincang dengan pegawai UK serta Perancis mengenai usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan, ketenteraan dan ekonomi.

Namun begitu, beliau turut memberi isyarat bahawa Kanada bersedia untuk berdialog dengan Washington.

"Kami mahu berbincang mengenai hubungan perdagangan dan keselamatan secara keseluruhan antara kedua-dua negara. Apabila Amerika Syarikat bersedia untuk mengadakan perbincangan itu, kami juga bersedia," kata Carney di London.

Trump membantu kebangkitan Carney

Carney, yang tidak pernah memegang jawatan awam sebelum ini – akan mengetuai Parti Liberal dalam Pilihan Raya Persekutuan Kanada yang dijadualkan berlangsung tahun ini.

Sebelum kepulangan Trump ke tampuk pemerintahan, Parti Liberal Kanada – yang telah memegang kuasa selama hampir satu dekad – kelihatan kekurangan idea dan tenaga, dengan tinjauan menunjukkan mereka bakal mengalami kekalahan besar kepada Parti Konservatif yang dipimpin oleh tokoh berhaluan kanan, Pierre Poilievre.

Namun, ancaman Trump terhadap ekonomi dan kedaulatan Kanada telah membangkitkan semula semangat luar biasa dalam Parti Liberal menjadikan pilihan raya yang akan datang jauh lebih sengit berbanding jangkaan beberapa minggu lalu.

Sejak Jumaat, Carney telah berbincang dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengenai perang Rusia di Ukraine serta dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengenai rancangan Brussels untuk membiayai pertahanan Eropah berikutan pengurangan dan ketidaktentuan sokongan ketenteraan dari AS.

Pada sidang media di Paris, Carney memuji Macron sebagai seorang "pemimpin yang bertindak" dalam mengemudi Eropah menghadapi krisis keselamatan.

"Dalam saat krisis, seseorang perlu bertindak. Malangnya, kita kini berada dalam krisis ekonomi dan geopolitik. Namun, setiap tindakan harus berpandukan nilai: kedaulatan, solidariti, dinamisme, dan kelestarian. Nilai-nilai ini dekat di hati kami," kata Carney.

Di London, Carney mengumumkan beliau telah menjemput Zelensky untuk menghadiri Sidang Kemuncak G7 yang akan dihoskan oleh Kanada di Alberta tahun ini.

Carney bukanlah wajah asing bagi United Kingdom kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Gabenor Bank of England dari 2013 hingga 2020, membantu pemulihan negara itu daripada krisis kewangan 2008 sebelum berundur tepat sebelum pandemik COVID-19.

Sepanjang tempoh itu, beliau sering dikritik oleh golongan konservatif kerana memberi amaran berulang kali bahawa keputusan UK untuk meninggalkan Kesatuan Eropah akan merosakkan ekonominya. - Agensi