KUALA LUMPUR: Pelaporan korporat yang berkualiti memberi impak ketara terhadap keyakinan pelabur, memudah cara pertumbuhan perniagaan dan sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi secara keseluruhannya.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata syarikat yang menunjukkan amalan pelaporan yang baik menetapkan penanda aras untuk ketelusan dan integriti - nilai yang amat penting untuk pertumbuhan mampan dan kejayaan jangka panjang, mempunyai kesan meluas merangkumi bukan sahaja syarikat tersebut tetapi juga korporat Malaysia secara keseluruhan dan ekonomi.

Katanya dalam pasaran global yang berkembang pesat dan sangat kompetitif, kepentingan pelaporan korporat yang jelas, tepat dan telus tidak boleh dipandang remeh.

"Laporan tahunan lebih daripada sekadar himpunan penyata kewangan. Ia menjadi instrumen penting yang menawarkan pandangan mengenai strategi, prestasi dan aspirasi syarikat.

"Laporan ini mencerminkan hasrat syarikat untuk mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan, menyediakan maklumat penting yang diperlukan untuk membuat keputusan," katanya dalam ucapan pada pelancaran Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2025 secara maya hari ini.

Abdul Wahid berkata bagi pelabur, pengawal selia dan orang ramai, laporan tahunan sering menjadi saluran pertama untuk melihat amalan tadbir urus, budaya dan daya saing jangka panjang sesebuah syarikat.

"Melalui laporan ini, kepercayaan dibina dan kredibiliti diraih. Pelaporan yang jelas bukan sahaja menunjukkan akauntabiliti kewangan tetapi turut menggariskan komitmen syarikat untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam amalan perniagaan," katanya.

Hari ini, menilai syarikat senaraian awam lebih daripada prestasi kewangan dan tadbir urus korporat, dan bagi Bursa Malaysia, kemampanan menjadi keutamaan dan bukan hanya keperluan pematuhan.

"Fokus ini mencerminkan kesedaran yang meningkat mengenai hubungan antara operasi perniagaan dan faktor alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (ESG).

"Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Dipertingkatkan, sejajar dengan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan, memberi tumpuan kepada ketelusan dan akauntabiliti yang lebih baik dalam menguruskan risiko dan peluang kemampanan, meningkatkan daya tahan perniagaan selain menyumbang kepada agenda kemampanan negara yang lebih luas," katanya.

Melalui penyertaan NACRA 2025, syarikat bukan sahaja mempamerkan dedikasi mereka terhadap pelaporan korporat yang baik tetapi turut menyumbang kepada usaha bersama untuk meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam semua sektor.

"Sama ada anda seorang peneraju industri berpengalaman atau syarikat baharu, NACRA menyediakan pentas untuk mengetengahkan kekuatan anda dalam pelaporan korporat.

"Ia adalah ruang untuk mempamerkan dedikasi anda kepada amalan terbaik, membolehkan syarikat mengetengahkan naratif anda kepada khalayak yang lebih luas dan meningkatkan reputasi syarikat anda," katanya.

-- BERNAMA