Menurutnya perbincangan antara PKR Pusat dan PKR Sarawak lebih menjurus kepada usaha memperkukuh Kerajaan MADANI.
Beliau berkata setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat oleh parti berhubung penyertaan dalam PRN13 Sarawak akan datang.
PRN13 Sarawak dijangka diadakan tahun depan selepas kali terakhir berlangsung pada 18 Dis 2021.
"Saya rasa kita masih mempunyai banyak ruang untuk berbincang mengenai PRN. Sebab itu saya katakan bahawa teras utama sekarang adalah untuk memperkukuh Kerajaan Perpaduan. Jadi, apa sahaja keputusan mesti berteraskan mesyuarat yang melibatkan semua pihak," katanya.
Menteri Pendidikan itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Berbuka Puasa PKR Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Fadhlina berkata PKR Sarawak turut menyatakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai Ketua Wanita pada pemilihan parti Mei ini.
Pada pemilihan parti akan datang, Fadhlina akan dicabar semula oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Pada pemilihan PKR 2022, Fadhlina menewaskan Rodziah dengan majoriti 32 undi.
Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan Wanita Pusat, dan Majlis Pimpinan Pemuda Pusat dijadualkan berlangsung pada 24 Mei.
-- BERNAMA
