KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan tidak menerima atau membenarkan mana-mana ahli parti melakukan tindakan lompat parti, termasuk dalam Kerajaan Perpaduan sendiri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memandang serius pengesahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, bahawa terdapat perbincangan awal mengenai penyertaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke PKR.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata, budaya mengambil ahli atau pemimpin parti lain hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan yang boleh menggugat kestabilan gabungan parti.

"Cukuplah pengalaman pahit lampau dalam permuafakatan politik lalu yang meruntuhkan kerajaan akibat perlakuan khianat, lompat-melompat, serta mencuri ahli sesama parti dalam permuafakatan," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Anwar sahkan ada perbincangan penyertaan Tengku Zafrul

Terdahulu, Anwar mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul, ke dalam PKR.

Presiden PKR itu menegaskan beliau dan parti terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan mana-mana pihak.

“Prinsip PKR adalah terbuka, ada pemimpin kita yang pernah menjadi Setiausaha Agung Amanah, ada pemimpin DAP yang jadi calon kita dan ada pemimpin kita yang jadi calon DAP.

“PKR selama ini memang membuka ruang tapi merunding secara baik, itu keadaannya sekarang.

“Tengku Zafrul pun dalam keadaan yang sama, kita tidak menafikan dan budaya kita (PKR) tidak pernah mengajak orang (menyertai parti).

“Tapi kita sedia bincang dan parti ini terbuka…bekas UMNO pun ada,” katanya.