ABU DHABI: Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) yang dimeterai antara Malaysia dan UAE pada Selasa turut memberi tumpuan kepada usaha membangunkan ekonomi Islam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kejayaan memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) itu akan membuka ruang untuk perjanjian yang sama dengan negara anggota GCC yang lain dan GCC sendiri.

"Kabinet telah bersetuju untuk kita mula berbincang dengan GCC mengenai FTA antara Malaysia dan GCC.

"Kita telah sampaikan kepada pihak GCC dan mereka bersetuju untuk memulakan rundingan. Mungkin pada Mei atau Jun ini, kita akan memulakan perbincangan," katanya kepada media Malaysia ketika ditemui pada Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di ADNEC Center, di sini.

Selain UAE, GCC turut dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke UAE sejak Ahad lepas bersama Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menyaksikan majlis pemeteraian CEPA di ADNEC Center.

Pada majlis itu, Malaysia diwakili Tengku Zafrul manakala UAE oleh Menteri Negara bagi Perdagangan Luar, Dr Thani Ahmed Al-Zeyoudi.

Tengku Zafrul berkata, CEPA dijangka meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Ini FTA yang ke-17 untuk Malaysia. Ia turut melibatkan perbincangan sektor baharu iaitu kali pertama bagi perjanjian berkaitan ekonomi hijau dan ekonomi digital. Kedua-dua sektor ini penting untuk kita pada masa depan.

"Pada masa sama, kita mahu memastikan sektor perdagangan, semikonduktor, AI (Kecerdasan Buatan), tenaga boleh baharu diberi tumpuan dalam CEPA," katanya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE mencecah RM39.53 bilion (US$8.61 bilion).

UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, mencatatkan perdagangan sebanyak RM39.63 bilion (US$8.67 bilion) pada 2023.

Malaysia berada di kedudukan keempat sebagai rakan dagang terbesar UAE dalam ASEAN dan ke-32 di peringkat global. - BERNAMA