ABU DHABI: Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) telah mencipta rekod baharu untuk Malaysia sebagai perjanjian perdagangan bebas paling pantas dimuktamadkan.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,  keseluruhan proses berkaitan perjanjian ini hanya mengambil masa 11 bulan sahaja.

"Ini adalah bukti komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak. Perjanjian ini dijangka akan meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sebanyak sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

"CEPA juga merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama antara Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, kejayaan memuktamadkan rundingan ini adalah peristiwa penting dalam usaha mengeratkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan UAE.

"Insya-Allah, CEPA akan memangkin integrasi ekonomi yang lebih rapat, serta menyumbang kepada kemakmuran bersama dan pertumbuhan yang lebih mampan untuk kedua-dua negara," ujarnya lagi.

Tengku Zafrul turut menyatakan bahawa usaha untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara GCC akan diteruskan melibatkan Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi.

Pada Selasa MY-UAE CEPA ditandatangani oleh Tengku Zafrul mewakili Malaysia dan Menteri Negara Bagi Perdagangan Luar UAE, Dr Thani Ahmed Al-Zeyoudi.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.