KINSHASA: Satu penyakit baharu yang tidak dikenal pasti telah dilaporkan di barat laut Republik Demokratik Congo (DR Congo), yang sedang berdepan pelbagai krisis kesihatan awam dan kemanusiaan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu, lapor Xinhua.

WHO dalam laporannya menyatakan, dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

Sehingga 15 Feb, sebanyak 431 kes dan 45 kematian telah dilaporkan.

Kluster pertama dikesan pada Januari di Kampung Boloko, dalam Zon Kesihatan Bolomba.

Siasatan awal mengesan punca wabak itu bermula daripada tiga kematian dalam komuniti melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun yang meninggal dunia selepas mengalami demam, sakit kepala, cirit-birit dan keletihan, yang kemudian melarat kepada pendarahan.

Terdapat laporan bahawa kanak-kanak itu telah memakan bangkai kelawar sebelum mengalami simptom.

Kluster kedua pula dilaporkan pada Februari di Kampung Bomate, dalam Zon Kesihatan Basankusu.

"Wabak ini, yang menyaksikan peningkatan kes secara mendadak dalam beberapa hari, menimbulkan ancaman besar terhadap kesihatan awam," menurut laporan WHO, sambil menekankan bahawa penyakit itu merebak dengan cepat, dengan hampir separuh daripada kematian berlaku dalam tempoh 48 jam selepas gejala muncul di Zon Kesihatan Basankusu serta kadar kematian yang sangat tinggi di Zon Kesihatan Bolomba.

Namun, tiada kaitan epidemiologi yang dapat dibuktikan antara kes di kedua-dua zon kesihatan yang terjejas.

WHO menyatakan kemungkinan penyakit ini berpunca daripada malaria, demam berdarah virus, keracunan makanan atau air, demam kepialu dan meningitis sedang diteliti, tetapi ujian telah mengesahkan bahawa virus Ebola dan Marburg telah dikecualikan sebagai punca wabak berkenaan.

-- BERNAMA