GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan perjanjian global untuk menangani pandemik masa depan perlu dimeterai segera selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perbincangan perjanjian tersebut.

Dr Tedros berkata, tiada negara boleh melindungi diri sendiri daripada pandemik yang akan datang secara bersendirian, tiga hari selepas pentadbiran Presiden, Donald Trump memaklumkan penarikan diri AS dari rundingan tersebut.

Katanya, dunia kini berada pada titik penting dan perjanjian pandemik mesti diselesaikan sebelum Sidang Kemuncak Kesihatan Dunia pada Mei ini.

Beliau mengingatkan anggota WHO mengenai kesan COVID-19 yang telah meragut lebih 20 juta nyawa, dan mengatakan bahawa usaha menangani pandemik seterusnya sangat kritikal dan perlu dilakukan dengan segera.

Proses rundingan dimulakan pada Disember 2021 sebagai langkah pencegahan, berikutan pengalaman COVID-19 yang memberi kesan besar kepada sistem kesihatan global dan ekonomi.

AS, yang sering mengkritik WHO dalam pengendalian pandemik COVID-19, memulakan proses penarikan diri pada Januari 2021 yang dimuktamadkan pada 14 Februari lalu.

Dr Tedros menegaskan bahawa negara tidak dapat melindungi diri mereka sendiri dengan perjanjian dua hala dan mengharapkan AS mempertimbangkan semula keputusannya untuk menarik diri.

Dalam perkembangan ini, organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mengikuti proses perjanjian pandemik menggesa negara anggota yang tinggal untuk memastikan perjanjian ini diselesaikan.

Pandemic Action Network menegaskan bahawa walaupun terdapat cabaran geopolitik, negara anggota tidak boleh mundur daripada misi ini.

Sementara itu, Spark Street Advisors mengingatkan bahawa sistem multilateral global kini diancam dan perjanjian pandemik adalah langkah penting untuk melawan kemunduran yang berlaku.