ISTANBUL: Presiden Rusia, Vladimir Putin sekali lagi menegaskan kesediaan Moscow untuk kembali ke meja rundingan mengenai Ukraine tetapi menekankan bahawa membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat (AS) adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

Bercakap kepada pemberita di St. Petersburg pada Rabu, Putin menekankan kepentingan rundingan antara delegasi Rusia dan Amerika Syarikat di Riyadh pada Selasa, sambil merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi kerana menjadi tuan rumah perbincangan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita TASS.

Beliau turut memaklumkan, dalam beberapa hari akan datang, beliau bercadang menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman secara peribadi bagi menyampaikan penghargaan itu.

"Matlamat pertemuan AS-Rusia di Riyadh adalah untuk meningkatkan kepercayaan bersama," kata Putin, sambil menegaskan tanpa pemulihan kepercayaan, penyelesaian krisis Ukraine adalah mustahil.

Mengenai kemungkinan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump, Putin berkata, beliau terbuka untuk berbincang tetapi menegaskan bahawa persiapan yang teliti diperlukan.

"Pertemuan semata-mata tidak mencukupi - isu utama, termasuk Ukraine, perlu dibincangkan," katanya sambil menambah beliau tidak dapat menentukan bila pertemuan itu mungkin berlangsung.

Putin turut mengulas mengenai perubahan pendirian Trump terhadap Ukraine, dengan menyatakan walaupun Presiden AS itu pada awalnya berjanji menyelesaikan konflik dengan cepat, pendiriannya disesuaikan selepas menerima taklimat presiden, sesuatu yang dianggapnya normal.

Mengenai hubungan dengan Eropah dan Ukraine, Putin menegaskan, Moscow tidak pernah menolak dialog.

"Sebaliknya, pihak Eropah yang memutuskan hubungan, manakala Kyiv sendiri melarang dirinya daripada berunding dengan Rusia," katanya.

Beliau turut menegaskan, tiada perantara diperlukan dalam rundingan antara Rusia dan AS, sambil memuji hasil perbincangan di Riyadh, dengan menyatakan bahawa wakil AS terlibat tanpa sebarang prasangka atau kecaman.

Menyentuh isu geopolitik yang lebih luas, Putin berkata, Moscow dan Washington telah mengambil langkah awal ke arah kerjasama di Timur Tengah, termasuk dalam perbincangan mengenai Syria dan Palestin.

Beliau juga mengulas mengenai ketegangan diplomatik baru-baru ini antara Rusia dan AS, khususnya pengusiran diplomat, dengan menyatakan bahawa tindakan sedemikian "tidak membawa ke mana-mana" serta mengesahkan bahawa operasi misi diplomatik kedua-dua negara akan kembali berjalan seperti biasa nanti.

-- BERNAMA