Ringkasan AI
- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa meneruskan himpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tindakan tidak bermoral dan membelakangi nasihat pihak berkuasa.
- UMNO tidak akan berhenti berjuang mendapatkan keadilan untuk Najib, tetapi akan melakukannya mengikut lunas perundangan.
- UMNO membuat keputusan tidak meneruskan himpunan solidariti untuk Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini dan akan mengutuskan warkah permohonan rasmi kepada Agong bagi mengemukakan rayuan pengampunan penuh.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, proses pengampunan bekas perdana menteri itu bukan modal politik yang boleh dipermain semua pihak, dan tindakan menjadikan ia taruhan bagi meraih populariti adalah sangat tidak bermoral.
“Bersolidariti secara bermusim itu sangat memualkan. Apa lagi setelah mengenang segala nista yang pernah mereka lemparkan terhadap mantan Presiden UMNO tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun, Khaled berkata, ia tidak bermakna UMNO akan berhenti berjuang mendapatkan keadilan terhadap Najib, sebaliknya ia akan dilakukan mengikut lunas perundangan.
“Ramai yang bertanya kenapa UMNO tidak boleh terpisah dengan bekas Presidennya. Jawapannya ialah kerana UMNO setia dengan bekas Presiden atas jasanya pada bangsa dan negara.
“Apa jua kekurangan dan kelemahan, justeru jika ada kesalahan sekalipun, tidak akan dapat mengatasi lautan darmabaktinya pada tanah air dan bangsa.
"UMNO tidak akan meminggirkan mereka yang bersetia dengannya. Apa lagi pada seorang bekas Presidennya,” ujarnya.
Semalam, UMNO membuat keputusan tidak meneruskan himpunan solidariti untuk Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan tidak akan membelakangi Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, UMNO akan segera mengutuskan warkah permohonan rasmi kepada Agong bagi mengemukakan rayuan pengampunan penuh terhadap Najib.