Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.
"UMNO menjunjung hormat titah kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, sebagai satu-satunya parti yang memperjuang dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
"Atas prinsip menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada 6 Januari 2025 ini," jelasnya.
Pada masa sama, beliau juga berkata pihaknya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.
"UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh Ahli UMNO yang sudah pun menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini," ujarnya.