KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniagakan tinggi pada pagi Isnin menjejaki prestasi Wall Street yang positif minggu lepas berikutan sentimen pasaran baharu selepas pelabur tidak mengambil kira kebimbangan berkaitan tarif, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.33 mata kepada 1,526.48 daripada 1,512.15 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 5.43 mata kepada 1,517.58.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 301 berbanding 65 manakala 213 kaunter tidak berubah, 1,845 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 169.01 juta saham bernilai RM102.96 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatatkan kenaikan selepas ketiga-tiga indeks utama ditutup tinggi berikutan kekurangan tajuk berita berkaitan tarif daripada pentadbiran Amerika Syarikat.

Dalam negara, katanya FBM KLCI berjaya mengekalkan kedudukannya yang positif selepas situasi tidak menentu minggu lepas dan menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan berterusan dalam bursa tempatan hari ini.

"Kami menjangka pelabur atau peniaga yang mencari peluang untuk membeli saham pada harga rendah akan terus membelinya pada sekitar paras 1,500 dan ke bawah. Pada hari ini, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,510 hingga 1,520," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM10.38, Public Bank menambah empat sen kepada RM4.52, Tenaga Nasional naik 14 sen kepada RM13.54, CIMB menokok sembilan sen kepada RM7.16 dan IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM7.12.

Dalam saham aktif, Saliran naik dua sen kepada 24.5 sen, Nationgate meningkat enam sen kepada RM1.42, SNS Network menambah 1.5 sen kepada 45 sen dan Oppstar menokok lima sen kepada 66 sen manakala Sapura Energy merosot setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 120.84 mata kepada 11,420.98, Indeks FBMT 100 meningkat 118.88 mata kepada 11,188.71 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 115.23 mata kepada 11,104.81.

Indeks FBM 70 naik 229.04 mata kepada 16,367.51 dan Indeks FBM ACE meningkat 12.33 mata kepada 4,690.01.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.84 mata kepada 155.57, Indeks Tenaga menambah 8.18 mata kepada 726.91, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 167.38 mata kepada 18,690.20 dan Indeks Perladangan menokok 15.11 mata kepada 7,384.86.

-- BERNAMA