JOHOR BAHRU: Lebih ramai atlet bertaraf dunia akan dijadikan sebagai duta sukan Johor dalam usaha memperkasakan dan membangunkan atlet muda negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata antara atlet yang disenarai pendek ialah Datuk Lee Chong Wei, Sonny Bill Williams dan Khabib Nurmagomedov.

"Seperti yang kita sedia maklum bahawa Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail telah menitahkan beberapa individu atlet (sebagai duta).

"Insya-Allah kita akan lihat lebih ramai lagi individu bertaraf dunia dijadikan duta sukan di Johor yang saya rasa ia cukup baik untuk pembangunan atlet generasi muda.

"Atlet ranking dunia seperti Chong Wei, Sonny Bill dan Khabib serta ramai lagi, mungkin atlet bola keranjang, kriket dan hoki, dapat memberi galakan dan semangat kepada atlet muda negeri untuk berjaya seperti mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Larkin di sini semalam.

Mohd Hairi berkata usaha itu bakal menyaksikan pencapaian Johor sebagai hab sukan sekali gus menjadi penghubung ekonomi pada masa depan.

"Sukan bukan sahaja boleh menjadi jaringan kepada ekonomi tetapi juga pelancongan dan perpaduan rakyat.

"Oleh itu, Tunku Mahkota Ismail melihat sukan dapat memupuk rakyat Johor dan kita boleh lihat sendiri dalam perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan beribu peminat tanpa kira warna kulit, budaya dan agama dapat disatukan dalam satu stadium," katanya.

Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini bertitah mengumumkan Chong Wei sebagai duta sukan Johor serta beberapa atlet bertaraf dunia yang turut dinamakan dalam usaha memacu program pembangunan sukan dan belia di negeri itu.

Baginda membuat pengumuman itu dalam sesi soal jawab bersama peminat JDT di Kafeteria JDT selain turut membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan kelab bola sepak berkenaan.

Selain bekas jaguh badminton perseorangan negara itu yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik dan diberi julukan 'Raja Superseries', beberapa ikon sukan terkemuka dunia turut dinamakan termasuk Sonny Bill (ragbi), Khabib (seni mempertahankan diri) serta Tim Cahill (bola sepak Australia).

-- BERNAMA