Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, tumpuan bukan sahaja kepada pengeluaran hasil tanaman semata-mata, bahkan, dari aspek agropelancongan dan industri asas tani.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai menyahut saranan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan pengusaha-pengusaha nanas dalam negeri Johor untuk tujuan itu.
"Malah kerajaan negeri juga memperuntukkan RM500,000 melalui Belanjawan Negeri 2025 untuk tujuan insentif bantuan benih nanas MD2, pembangunan infrastruktur ladang, penyediaan latihan serta promosi bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian nanas.
"Umum sedia maklum bahawa Johor merupakan pengeluar terbesar nanas di Malaysia dengan pengeluaran lebih 280,000 tan metrik setiap tahun dengan nilai hasil lebih RM680 juta.
"Pengeluaran Johor merangkumi 63.7 peratus daripada jumlah pengeluaran nanas negara," katanya selepas mengadakan perbincangan bersama LPNM bagi membincangkan pembangunan industri nanas di Johor, yang turut disertai pemain-pemain industri nanas di Simpang Renggam, Kluang.
Simpang Renggam, Kluang yang tentunya sangat sinonim dengan tanaman nanas di negeri Johor.
Malah saiz tanaman nanas di daerah Kluang sahaja adalah seluas 5,047 hektar, iaitu terbesar di Johor berbanding daerah lain.
"Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa kegemilangan Johor sebagai pengeluar utama nanas di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.
Turut hadir ke sesi perbincangan hari ini ialah Pengerusi LPNM, Sheikh 'Umar Bagharib Ali.
