Ringkasan AI
- Sultan Pahang gembira dengan pemilihan empat daerah di Pahang (Lipis, Cameron Highlands, Jerantut, dan Temerloh) sebagai antara 20 bandar paling bahagia di Malaysia bagi 2025.
- Sultan Pahang menekankan pentingnya pendidikan Islam dan penubuhan Maahad Tahfiz Ar-Rushd untuk melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.
- Baginda menyambut baik kerjasama antara Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) dan Mohamed bin Zayed University for Humanities (MBZUH) untuk memperkukuh pendidikan Islam dan tahfiz di Pahang.
Baginda bertitah gelaran yang diberikan kepada daerah Lipis, Cameron Highlands, Jerantut dan Temerloh itu sememangnya bersesuaian dengan suasana yang dapat dinikmati khususnya di Lipis.
"Saya bangga dengan kejayaan di Lipis, Cameron Highlands, Jerantut dan Temerloh. Di Lipis hari ini (semalam), saya lawat bandar, masjid, nampak semua orang senyum dinobatkan dengan gelaran itu, sangat sesuai.
"Rakyat di Pahang sangat bertuah, semoga semua diberkati dan kuat kerja, solat, mengaji dan lain-lain," titah baginda yang dimuat naik dalam Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Kampung Tanjung Gahai di sini semalam.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Khamis mengumumkan kejayaan 20 bandar berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia. Lipis, Cameron Highlands dan Jerantut meraih pengiktirafan bagi kategori Majlis Daerah manakala Temerloh tersenarai dalam kategori Perbandaran.
Dalam pada itu, Sultan Pahang turut menzahirkan hasrat untuk melihat generasi muda di negeri ini membesar sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing tanpa melupakan nilai Islam yang menjadi tunjang kehidupan.
Baginda bertitah antaranya menerusi usaha penubuhan Maahad Tahfiz Ar-Rushd yang diasaskan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang mencerminkan tekad negeri ini dalam memperkasakan pendidikan Islam khususnya dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.
"Anak-anak Pahang perlu dilatih dengan ilmu moden, teknologi serta kemahiran kepimpinan.
"Tambahan, saya menyambut baik kerjasama yang terjalin antara Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan Mohamed bin Zayed University for Humanities (MBZUH), UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam memperkukuh pendidikan Islam dan tahfiz di negeri ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah kerjasama strategik ini bukan sahaja memberi manfaat dalam memperkasakan kurikulum tahfiz, tetapi juga membolehkan pertukaran ilmu, latihan tenaga pengajar serta pembangunan penyelidikan Islam.
Sementara itu, baginda menzahirkan hajat untuk terus memperkasakan pusat tahfiz, madrasah dan pondok di negeri ini dengan melaksanakan pelbagai pendekatan pendidikan, bertujuan membawa pusat pendidikan agama ini ke arus perdana serta menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran Islam di negeri ini.
"Saya ingin sekali lagi menasihati para pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok supaya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh MUIP bagi tujuan memenuhi amanat saya," titah baginda.
-- BERNAMA
