Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun ditemukan maut dalam semak di Desa Lingsir, Indonesia.
- Suspek, pekerja bengkel berusia 31 tahun, disyaki membunuh mangsa kerana berang tidurnya diganggu.
- Suspek memasukkan mayat mangsa ke dalam guni dan membuangnya ke dalam semak, kini berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika disabitkan kesalahan.
Mayat mangsa dijumpai dalam semak di Desa Lingsir, Kecamatan Paringin Selatan, Kabupaten Balangan, Indonesia pada Jumaat, lapor Kompas.
Menurut Ketua Seksyen Hubungan Masyarakat Polres Tabalong, Iptu Joko Sutrisno, kanak-kanak itu disyaki dibunuh seorang pekerja bengkel berusia 31 tahun yang tinggal serumah dengan ibu bapa mangsa ketika bermain di halaman rumahnya.
Suspek dipercayai berang apabila tidurnya diganggu anak majikan itu dan telah bertindak menampar dan kemudian mencekik kanak-kanak tersebut hingga mati.
“Bagi menutup jenayah, suspek telah memasukkan mayat mangsa ke dalam guni dan membuangnya ke dalam semak di Kabupaten Balangan menggunakan motosikal,” kata Joko dalam kenyataan pada Jumaat malam.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berbalut guni hanya kira-kira 3 meter dari jalan raya.
Mangsa masih berpakaian lengkap, namun mayatnya sudah membengkak dan mula mengeluarkan bau busuk.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besar Wilayah (RSUD) Badaruddin Kasim untuk pemeriksaan lanjut.
"Ada tanda-tanda kecederaan serius seperti tengkorak retak. Bagaimanapun, untuk menentukan punca sebenar kematian, mayat mangsa akan menjalani bedah siasat," kata Joko lagi.
Suspek yang kini ditahan di lokap Polis Tabalong berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika disabitkan kesalahan.
