PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian seorang pegawai perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) ditemui meninggal dunia di pejabatnya, pada Rabu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan menyeluruh berhubung kematian individu terbabit masih dikendalikan oleh pihak berkuasa, ketika ini.

"Ini bermaksud pada peringkat ini, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang komen.

"Memadai untuk kita menyerahkan kepada pasukan polis bagi memulakan siasatan terhadap insiden ini.

"Setakat ini, kita belum boleh mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga pihak polis memulakan siasatan.

"Insya-Allah, berdasarkan perkembangan siasatan, saya akan meminta pasukan polis untuk berkongsi maklumat yang dianggap penting dan munasabah untuk didedahkan kepada media," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Beliau ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Menteri Dalam Negeri bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Tahun 2025.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 10.56 pagi tadi.

Katanya, lelaki berusia 45 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai pejabat dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dijumpai di lokasi kejadian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.