Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan punca kejadian kini di bawah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BKSU), selepas pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan siasatan mereka.
Mangsa Finsen Reskey Sembiring, 27, maut akibat libasan bilah kipas helikopter yang terbalik sebelum terbakar di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur di sini.
"Pihak kita akan berhubung dengan pihak kedutaan Indonesia yang akan memaklumkan kejadian ini kepada ahli keluarga mangsa sementara juruterbang yang terlibat sudah dihantar ke hospital dan sedang berehat selepas dirakamkan keterangan.
"Berapa lama masa yang akan diambil oleh pihak BKSU untuk menyelesaikan siasatan tidak dapat dipastikan buat masa ini," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.
Zaiham berkata juruterbang itu berjaya diselamatkan selepas tindakan berani seorang pengawal keselamatan warga tempatan yang berlari dan berusaha mengeluarkan juruterbang terbabit ketika helikopter itu sedang terbakar.
-- BERNAMA