KUALA LUMPUR: Malaysia akan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang bagi menangani isu lambakan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dari negara maju, susulan cabaran yang dihadapi dalam kawalan kemasukan bahan buangan berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kelemahan penguatkuasaan diakui sebagai antara punca utama, namun ia perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana membabitkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita tidak menafikan perkara ini dan sedang menelitinya secara serius. Sebelum ini, kita telah meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang menyaksikan denda dinaikkan sehingga RM10 juta dengan hukuman penjara mandatori.

"Kita juga mengakui ada ruang untuk penambahbaikan dari segi perundangan dan sebab itu, kita sedang meneliti pindaan fasa kedua akta ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penguatkuasaan Akta A1667 / Kaedah-Kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025 dan Sistem iPayment di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, Malaysia telah menandatangani Konvensyen Basel bagi menguruskan e-waste dan menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti Basel Action Network untuk memastikan tindakan dapat diambil terhadap pembuangan sisa yang tidak terkawal.

"Amerika Syarikat tidak menandatangani konvensyen ini, dan itu antara cabaran utama kita kerana e-waste yang keluar dari negara mereka tidak dianggap sebagai kesalahan.

"Selain itu, selepas China mengetatkan kemasukan e-waste ke negara mereka, banyak sisa ini dialihkan ke negara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia masih menjadi pusat lambakan e-waste dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan sedang berusaha menambah keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dengan mewartakan kawasan Bukit Dinding di Mukim Ulu Kelang seluas 20.05 hektar.

"Pada masa ini, keluasan keseluruhan HSK di Wilayah Persekutuan ialah 152.97 hektar, merangkumi 84.689 hektar di Kuala Lumpur dan 68.281 hektar di Labuan.

"Pewartaan ini akan melindungi dan mengekalkan kawasan sebagai kawasan hijau serta berfungsi sebagai 'green lung' bagi sekitarnya," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, sistem iPayment yang diperkenalkan di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur akan meningkatkan tatakelola kewangan dan mengelakkan ketirisan hasil, selain membudayakan rakyat dengan pembayaran tanpa tunai. - BERNAMA