Setiausaha Eksekutif UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Mohd Salleh Mat Disa berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengarahkan beliau datang ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk membantu urusan jenazah.
"Saya dimaklumkan jenazah akan dimandi dan dikafankan di rumahnya di Ipoh dan pengebumian akan disempurnakan 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia di Ipoh," katanya kepada pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HPP malam ini.
Beliau mengiringi Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang baru tiba dari Jepun untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ishsam termasuk isterinya, Rozlita Abdullah, 55, anak mereka, Muhammad Iszul Imadi, 32.
Turut hadir beberapa pemimpin UMNO serta BN Pulau Pinang dan Perak antaranya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Shaik Hussein Mydin dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Shah Headan Ayub Shah.
Muhammad Izrul Imadi yang ditemui berkata mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian itu memandangkan bapanya seorang yang aktif dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu bapanya memeriksa tekanan darah dan gula setiap hari di rumah serta sering berjoging.
"Saya berada di Ipoh dan dapat panggilan telefon memaklumkan ayah telah meninggal dunia selepas main bola sepak di sini, kami sangat terkejut dan terus datang ke hospital untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
"Ayah memang seorang yang menjaga kesihatan dan dia juga amalkan gaya hidup sihat, sebab tu kami terkejut sebab arwah pun tiada masalah kesihatan termasuk sakit jantung atau apa-apa," katanya.
Sementara itu, Chow berkata beliau mewakili kerajaan negeri hadir malam ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ishsam di HPP.
"Berita ini sangat mengejutkan semua kerana ADUN itu berada di sini untuk perlawanan bola sepak Piala Ketua Menteri," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata Ishsam rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu.
-- BERNAMA
