Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook rasminya menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan warga DUN Ayer Kuning atas kehilangan ini," katanya.
Sementara itu, Fahmi turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan bertakwa.
"Saya doakan agar seluruh keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan ketabahan berdepan kehilangan ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Turut mengucapkan takziah antaranya Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi laman media sosial masing-masing.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad melalui catatan di laman rasmi Facebooknya tidak ketinggalan menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham Ishsam.
"Mendapat khabar duka akan pemergian sahabat saya, YB Tuan Haji Ishsam Shahruddin, ADUN Ayer Kuning lewat petang tadi.
"Kau ampunilah dosanya, Kau kasihanilah dia dan terimalah segala amalan kebaikannya di dunia ini. Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beramal soleh," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi menyifatkan pemergian Ishsam sesuatu yang mengejutkan dan di luar dugaan.
Beliau berkata selama tiga tahun mengenali Allahyarham, karakternya amat disenangi rakan-rakan selain komited dalam melaksanakan tugas selaku wakil rakyat.
"Kita tak pernah tahu dan dimaklumkan beliau ada sakit tertentu. Sebelum ini saya jumpa beliau dalam keadaan sihat dan tak ada apa-apa gejala (sakit).
"Secara peribadi (mengenali), arwah merupakan seorang yang peramah, periang serta sangat mudah dirapati dan boleh diajak berbincang dalam pelbagai hal," katanya ditemui ketika menghadiri Majlis Makan Malam Semarak Keadilan Kita MADANI di Ipoh, Perak malam ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 59 tahun setelah tidak sedarkan diri selepas perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang, petang ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata Ishsam rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu.
Allahyarham merupakan calon UMNO bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan menang dengan majoriti 2,213 undi.
-- BERNAMA
