Ringkasan AI
- Seorang suri rumah ditahan kerana disyaki memukul dan menyimbah air panas ke atas anak perempuannya yang berusia 10 tahun kerana menggunakan alat soleknya.
- Kejadian terbongkar selepas guru sekolah melihat kesan lebam pada tangan kanak-kanak tersebut dan membawanya ke hospital untuk rawatan.
- Suspek direman selama sehari untuk siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kejadian terbongkar selepas guru sekolah yang juga pengadu melihat kanak-kanak tersebut memakai pakaian biasa dan bukannya pakaian sukan ketika hadir ke sekolah semalam.
Menurut sumber, mangsa memberitahu dia sedang sakit dan hasil pemeriksaan terdapat kesan lebam di tangannya sebelum murid tersebut di bawa ke bilik guru untuk pemeriksaan lanjut dan menceritakan kejadian tersebut semasa dia bermain alat solek milik ibunya yang berusia 36 tahun tanpa pengetahuannya.
"Apabila wanita itu menyedari perbuatan anak kedua daripada tiga beradik itu, dia bertindak memarahi mangsa dan memukulnya menggunakan objek serta menyimbahnya dengan beberapa cawan air panas," kata sumber tersebut.
Ketika kejadian, dua adik-beradik mangsa yang lain sedang tidur dan kanak-kanak itu telah memberitahu bapanya yang dia dipukul oleh ibu mereka.
"Guru sekolah terus membawa murid tersebut ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan selepas gagal menghubungi telefon ayah murid tersebut. Atas maklumat tersebut juga, wanita tersebut ditahan polis semalam dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini," katanya.
Dalam pada itu Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam satu kenyataan mengesahkan laporan kes berkenaan.
"Suspek direman selama sehari bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seskyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
-- BERNAMA
