TUMPAT: Disebabkan rasa bimbang akan keselamatan kediaman, ramai kaum lelaki di Kampung Kabung Sawa di sini memilih untuk terus menginap di rumah masing-masing walaupun kawasan sekitarnya telah ditenggelami air.

Penduduk Hisham Saamah, 45, berkata ini merupakan kelaziman setiap kali kampung itu dilanda banjir kerana mereka mahu menjaga kediaman masing-masing bagi mengelak daripada berlakunya kecurian harta benda.

"Mesti ada seorang di rumah sebab kita takut penjahat masuk. Kampung kami ini dekat dengan sempadan (Malaysia-Thailand) jadi kami risau.

"Selalunya ada anggota keselamatan ronda, tetapi bila banjir macam ini mereka tidak boleh masuk. Kami pun faham mereka tidak mampu sebab ada banyak lagi kawasan mereka perlu ronda jadi kami jaga kampung kami sendiri semasa banjir," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati majoriti rumah masih didiami oleh ketua keluarga atau pun anak lelaki manakala wanita, kanak-kanak dan warga emas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan.

Hisham yang merupakan seorang petani berkata kebanyakan mereka akan menghantar dan memastikan wanita, anak-anak serta mereka yang sakit dipindahkan ke PPS secepat mungkin.

Sementara itu, Wan Sauffi Besar, 55, berkata penduduk bergantung harap kepada bot yang dimiliki oleh hampir setiap isi rumah untuk keluar membeli bekalan makanan ketika berada di rumah.

"Saya naik bot untuk keluar membeli makanan di luar kampung. Selalunya saya beli bekalan yang mencukupi untuk seminggu.

"Di rumah masih ada elektrik dan bekalan air jadi masih boleh masak. Cuma agak susah sebenarnya untuk keluar kerana nanti bila sudah di luar, kami perlu berjalan kaki kerana kereta kami diletakkan di masjid kampung ini," katanya.

Sementara itu Pembantu Penghulu Saari Musa berkata ramai penduduk terlibat berharap pihak berkaitan serta badan bukan kerajaan (NGO) dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang memilih untuk tidak berpindah.

"Kalau ada yang sudi membantu, kami boleh uruskan untuk penduduk mengambil bantuan di tempat yang bersesuaian dengan menggunakan bot. Ketika ini, agak sukar untuk sampai ke sini kerana keseluruhan kawasan ini kini masih ditengelami air," katanya.

-- BERNAMA