KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,848 mangsa banjir masih berlindung di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri yang terjejas setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 1,619 orang ditempatkan di 12 PPS melibatkan daerah Kerian, Hilir Perak, Kampar, Perak Tengah dan Kuala Kangsar, berbanding 1,459 malam tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di PERLIS juga mencatatkan peningkatan daripada 47 orang malam tadi kepada 469 orang pagi ini, dan keadaan sama turut direkodkan di KEDAH dengan 298 orang berada di tiga PPS, bertambah berbanding 137 malam tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa juga bertambah sedikit daripada 117 malam tadi kepada 136 pagi ini manakala banjir di PAHANG beransur pulih dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,259 orang berbanding 1,418 malam tadi.

Sementara itu, laman web rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my/ memaklumkan lima sungai mencatatkan paras bahaya masing-masing tiga di Sarawak dan dua di Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada 8.35 pagi ini memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Perlis, Kuala Lumpur serta beberapa Kawasan di Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu dan Kota Setar.

Keadaan cuaca sama juga diramal di Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling), Negeri Sembilan (Rembau) dan Sarawak (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) hingga 11 pagi ini.
- BERNAMA