KUALA BERANG: Seorang warga emas mengambil inisiatif membina reban rakit bagi menyelamatkan ayam ternakannya mati dan mengelak mengalami kerugian besar akibat banjir menjelang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Mohd Sulong, 73, dari Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini berkata pengalaman pahit kerugian ribuan ringgit selepas ternakan dihanyutkan air memaksa beliau menyiapkan reban rakit walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Mohd berkata beliau menghabiskan kira-kira RM500 untuk membina reban yang menggunakan kayu serta pelampung diperbuat daripada tong besar.

"Reban ini boleh memuatkan kira-kira 150 ekor ternakan ayam dan itik. Pak cik bina sendiri reban ini tanpa bantuan sesiapa untuk menjimatkan kos.

"Ambil masa empat bulan juga untuk siap sebab pak cik selalu uzur selepas diserang angin ahmar awal tahun ini. Buat sikit-sikit, tetapi kejar masa, bimbang banjir datang dengan tiba-tiba," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Mohd berkata selain reban rakit, beliau juga membina rak terapung yang diperbuat daripada buluh di dalam rumah bagi menyimpan peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk.

Beliau berkata setiap tahun kediamannya akan dinaiki air sehingga paras dada menyebabkan banyak barangan rosak dan musnah.

"Setahun paling kurang dua kali banjir. Biasanya pada awal dan akhir MTL. Sebelum ini pak cik bina para dalam rumah, tetapi adakalanya air naik lebih tinggi menyebabkan barangan rosak.

"Pak cik harap kali ini dapatlah selamat barang-barang penting. Tak larat dah tiap-tiap tahun kena baiki atau ganti barang elektrik yang rosak," katanya yang tinggal berdua bersama isteri.

Mohd berkata sesetengah penduduk membina stor rakit di luar rumah sebagai persediaan menghadapi banjir, namun beliau tidak mampu membina stor berkenaan kerana menelan kos yang tinggi.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan MTL atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mac tahun hadapan dengan lima hingga tujuh episod hujan dalam tempoh berkenaan, antaranya di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

-- BERNAMA