PAIPORTA: Sekurang-kurangnya 89 orang masih hilang selepas banjir melanda timur Sepanyol, menurut pihak berkuasa kehakiman wilayah di Valencia pada Selasa.

Mahkamah Tinggi Wilayah Valencia dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu termasuk mereka yang telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarga di mana maklumat peribadi dan sampel biologi turut diberikan untuk membolehkan proses pengecaman.

Katanya, berkemungkinan terdapat lebih banyak kes orang hilang yang butirannya belum didaftarkan.

Lebih 200 orang disahkan maut selepas hujan lebat minggu lalu menyebabkan laluan air melimpah, mewujudkan banjir kilat yang melanda pinggir bandar di selatan bandar Valencia.

Keadaan itu menghanyutkan kereta dan jambatan serta membanjiri premis dan tempat letak kereta bawah tanah.

Sementara itu, Perdana Menteri Pedro Sanchez berkata, beliau memperuntukkan 10.6 bilion euro untuk membantu mangsa.

Bantuan itu termasuk 838 juta euro dalam bentuk tunai langsung kepada perniagaan kecil dan pekerja bebas yang terjejas akibat bencana itu dan 5 bilion euro pinjaman yang dijamin kerajaan.

Kerajaan akan membiayai 100 peratus daripada kos pembersihan yang ditanggung oleh kerajaan tempatan dan separuh daripada pembaikan infrastruktur.

Sanchez berkata, masih ada orang hilang untuk dikesan, rumah dan perniagaan musnah, tertimbus di bawah lumpur dan ramai terjejas teruk.

Sekurang-kurangnya 217 orang maut di Valencia, Castile-La Mancha dan Andalusia, tetapi hanya 133 telah dikenal pasti setakat ini.

Mahkamah berkata, koroner telah melakukan 195 bedah siasat dan 62 mayat masih menunggu pengecaman.

Pengawal kebangsaan Sepanyol pada Selasa meminta saudara-mara orang yang hilang untuk memberikan sampel DNA untuk mengenal pasti mayat.

Sebuah kapal penyelidikan daripada Badan Saintifik Kebangsaan (CSIC) akan sampai ke Valencia pada 9 November untuk membantu dalam usaha pencarian.

Kapal itu mempunyai teknologi untuk mendapatkan imej terperinci dasar laut dan meneroka kawasan yang sukar dicapai.