Menurut Anadolu Ajansi, negeri selatan Kentucky menghadapi kemusnahan meluas dengan 12 kematian selepas taburan hujan dalam masa 24 jam yang menyamai taburan sebulan hujan.
"Kami baru sahaja mengalami satu daripada bencana alam paling dahsyat yang pernah kami saksikan dalam hidup kami," kata Gabenor Kentucky Andy Beshear pada Isnin, memberi amaran kru kecemasan masih berusaha untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas.
Lebih 1,000 misi menyelamat dilakukan, termasuk pemindahan melalui bot dan helikopter.
West Virginia turut berdepan krisis dengan "paras air yang tinggi" dan beberapa orang hilang, menurut Gabenor Patrick Morrisey.
Lima amaran kecemasan banjir kilat dikeluarkan di seluruh Virginia, West Virginia dan Tennessee pada hujung minggu, dengan Obion County, Tennessee mengisytiharkan darurat selepas banjir melimpahi benteng memaksa pemindahan wajib.
Bencana ini berlaku ketika Gelombang Sejuk Artik melanda kawasan tengah AS, membawa angin sejuk melampau yang boleh mengancam nyawa lebih 60 juta rakyat.
Suhu sejuk yang membeku serendah -60 darjah Fahrenheit (-51 darjah Celsius) dijangka di Northern Plains, manakala suhu di negeri selatan dan tengah selatan seperti Texas, Oklahoma, Arkansas dan Tennessee dijangka menjunam sehingga dua digit.
"Jika bekalan elektrik tidak ada dalam beberapa hari lagi, cari tempat yang hangat," gesa Beshear, memberi amaran mengenai risiko tinggi hipotermia ketika udara beku bergerak masuk.
Lebih 340 jalan raya masih ditutup di Kentucky dengan kerosakan infrastruktur semakin meningkat.
"Sekurang-kurangnya 10 jambatan di Pike County hilang terus," kata Hakim Eksekutif Daerah Ray Jones yang mengesahkan kemusnahan yang meluas. Banjir kali ini memburukkan lagi usaha pemulihan selepas banjir 2022 yang meragut 43 nyawa.
Beshear mengisytiharkan darurat pada Jumaat dan kemudian mengucapkan terima kasih kepada Presiden Donald Trump kerana meluluskan pengisytiharan bencana persekutuan bagi mempercepatkan bantuan, menurut Anadolu.
Pasukan Pengawal Kebangsaan, polis negeri dan agensi tempatan meneruskan operasi menyelamat dan pemulihan ketika paras air sungai masih tinggi dan salji tambahan berpotensi memburukkan lagi krisis.
Dengan suhu dijangka turun ke bawah paras beku sehingga ke selatan Texas, peramal cuaca memberi amaran bahawa keadaan mungkin bertambah buruk.
-- BERNAMA
