Ketua Pakar Ekonomi di Program Makanan Sedunia Arif Husain berkata: "Bekalan komersial telah berkurangan, pemindahan paksa besar-besaran telah berlaku, infrastruktur telah musnah, pertanian telah lumpuh, dan orang ramai kekurangan sumber kewangan."
Laporan yang disusun oleh agensi-agensi PBB dan NGO menunjukkan peningkatan ketara daripada 133,000 individu yang kini diklasifikasikan sebagai mengalami "krisis ketidakjaminan makanan."
Laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) menyatakan bahawa walaupun peningkatan dalam bantuan kemanusiaan pada musim panas mengurangkan sedikit penderitaan, bulan September menyaksikan tahap terendah bekalan komersial dan kemanusiaan yang masuk ke Gaza sejak Mac.
Akibatnya, bilangan orang yang menghadapi krisis ketidakjaminan makanan (IPC Fasa 5) dijangka meningkat antara November 2024 dan April 2025, mencecah 345,000 atau 16 peratus daripada populasi.
Laporan itu menekankan bahawa "penurunan mendadak" dalam bantuan baru-baru ini akan mengehadkan keupayaan keluarga untuk memberi makan kepada diri mereka sendiri dan mengakses barangan dan perkhidmatan penting dalam beberapa bulan-bulan akan datang, kecuali situasi berubah.
"Semua ini dicerminkan dalam ramalan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu yang menunjukkan kemerosotan bermula pada November," kata Husain.
Selain itu, anggaran meramalkan sekitar 60,000 kes kekurangan zat makanan akut dalam kalangan kanak-kanak berumur enam bulan hingga empat tahun dalam tempoh yang sama.
-- BERNAMA