KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gencatan senjata di Gaza ketika ini adalah tidak memuaskan berikutan kegagalan Israel melaksanakan sepenuhnya janji mereka yang melibatkan aspek penghantaran bantuan kemanusiaan khususnya bekalan air bersih.


Ringkasan AI
  • Kegagalan Penghantaran Bantuan: Israel gagal melaksanakan janji mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan air bersih ke Gaza.
  • Sekatan Jentera Pemulihan: Jentera yang diperlukan untuk pemulihan dan pembersihan di Gaza disekat daripada masuk, sementara senjata Israel dihantar dalam kuantiti yang banyak.
  • Kritikan dan Amaran: Pihak kemanusiaan dan Hamas mengkritik keadaan ini dan memberi amaran kemungkinan penangguhan pertukaran tahanan jika keadaan tidak diperbaiki.


Malah pemerhati kemanusiaan berkata, jentera yang diperlukan untuk menjalankan pelbagai proses pemulihan di Gaza disekat, sedangkan senjata Israel dihantar dengan kuantiti yang banyak.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, jentera yang diperlukan untuk membersihkan Gaza dan memulihkan bekalan air ketika ini disekat daripada masuk ke wilayah dimusnahkan Zionis itu.  

“Air bersih dan air minuman masih belum masuk (ke Gaza) dengan mencukupi. Pihak Israel tidak membenarkan alatan dan jentera untuk masuk bagi membaiki saluran air, paip dan bekalan air bersih. 

“Ketika ini bekalan bergantung kepada trak dan lori yang membawa tangki air. Sama seperti waktu perang. Ini tidak memuaskan dan atas sebab itu Hamas mengeluarkan amaran (kepada pihak Israel) dengan kemungkinan akan tangguhkan pertukaran tahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Dalam temu bual yang sama, Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor berkata, mempertikaikan penghantaran senjata dan kelengkapan tentara daripada Amerika Syarikat kepada Israel yang telah sampai ke negara haram itu dengan kuantiti yang banyak. 

“Tatkala jentera berat yang diperlukan disekat daripada masuk ke Gaza untuk membersihkan runtuhan akibat serangan Israel, sebaliknya Israel pula menerima jentera berat yang pastinya akan digunakan untuk meneruskan tindakan agresif terhadap Gaza. 

“Bahkan mungkin akan meneruskan genosid yang telah berjaya ditamatkan sebelum ini,” ujarnya.

Qatar pada Selasa melaporkan adanya "suasana positif" untuk memulakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari berkata, rundingan itu masih belum bermula dan menyatakan harapan agar ia dapat dimulakan "dalam masa terdekat."

Ansari turut menekankan bahawa aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah "tidak mencukupi" dan menegaskan bahawa ia "tidak boleh dijadikan sebagai alat tawar-menawar."