Gabenor Kentucky Andy Beshear berkata seramai lapan orang disahkan meninggal dunia di negeri tenggara AS itu dan beliau percaya angka korban akan terus meningkat.
Beliau berkata seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun antara yang maut dengan kesemua kematian itu berkaitan sama ada kemalangan jalan raya atau banjir.
Seorang lagi penduduk meninggal dunia di negeri Georgia, menurut akhbar Atlanta Journal-Constitution yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Lebih 1,000 orang telah diselamatkan dalam operasi menyelamat di Kentucky sahaja. Presiden AS Donald Trump telah mengisytiharkan darurat di negeri itu atas permintaan pihak berkuasa. Puluhan ribu kediaman terputus bekalan elektrik dan air minuman. Pengawal Kebangsaan telah dikerahkan ke lokasi terjejas.
Hujan lebat yang bermula pada Sabtu turut menjejaskan beberapa negeri termasuk Kentucky, Tennessee, Georgia, Arkansas, Virginia dan Virginia Barat. Di Tennessee, sebuah empangan pecah, yang menurut pihak berkuasa boleh menyebabkan keadaan yang mengancam nyawa.
-- BERNAMA
