Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor bertitah, mereka hanya perlu ukur baju di badan sendiri supaya tidak berdepan masalah terutama isu tunggakan gaji.
Menurut baginda, apabila berlaku isu sedemikian, pihak pengurusan biasanya enggan menyalahkan diri sendiri sebaliknya menuding ke pihak lain dan menuduh bola sepak Malaysia gagal.
"Mahu urus kelab benda mudah, ada RM10, belanja RM7. Perbaiki infra sikit, ada sasaran realistik. Ini tidak, semua janji menang piala nak jadi populis.
“Ada RM10, belanja RM15, lepas tu bila gagal bayar gaji, daripada pihak pengurusan hingga ke penyokong semua salahkan badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga MFL dan pasukan yang juara JDT.
"Semua orang salah kecuali diri sendiri. Bola sepak Malaysia tak gagal, anda yang gagal," kata baginda dalam Instastory pada Isnin.
Tunku Ismail menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad membidas pihak yang menyifatkan bola sepak Malaysia gagal.
Baginda bertitah, keadaan sebenar tidak sebegitu kerana ia hanya gagal jika diuruskan oleh individu yang tidak layak berada dalam industri bola sepak.
Baginda turut hairan dengan sesetengah pihak yang masih dengan sentimen itu sedangkan JDT sudah berkembang menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.
Malah baginda menambah, Malaysia juga sudah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun dan prestasi JDT di Asia menyumbang 21.54 (68.7peratus) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015, membolehkan lebih banyak kelab Malaysia menyertai pertandingan peringkat Asia.