PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menjawab mengenai dirinya yang dikaitkan dengan sebuah 'page' bola sepak yang mendakwa seorang pemain berpangkalan di Eropah mempunyai pertalian darah dengan Malaysia seperti yang tular di media sosial.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut menjelaskan bahawa dirinya hanya diminta untuk membantu kerajaan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam membantu pasukan kebangsaan melangkah lebih jauh.

"Saya tiada sumber rapat. Saya tak kenal pun orang atau page ni. Saya tiada kaitan dengan sesiapa dan mana mana pihak.

"Saya hanya diminta bantu kerajaan Malaysia, KBS, FAM, dan bekerja dengan pasukan saya sendiri untuk membantu pasukan kebangsaan dalam structure, kemudahan latihan, technology, exposure dan contacts dengan organisasi bolasepak berjaya yang saya kenali.



Dalam pada itu, baginda turut memaklumkan ketika ini hanya dirinya yang ada dalam membantu kemajuan Harimau Malaya berbanding individu lain yang menjual 'air liur' semata-mata.

"Kalau fikir secara rasional dan berdasarkan fakta. Saya satu-satunya yang anda ada. Yang lain setakat bercakap, tak sanggup beri sokongan kewangan dan kenalan mereka pun tak seberapa.

"Saya ada infrastruktur, alhamdulillah rezeki, dan kenalan dengan dunia bolasepak secara global dan berjaya. I’m the only one you got buat masa ini. So suka tak suka, minta maaf," katanya menerusi perkongsian di laman X. -- Stadium Astro