DOHA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dijemput sebagai tetamu khas Presiden Paris Saint-Germain FC, Nasser Al-Khelaifi, untuk menyaksikan sesi latihan PSG di Stadium 974, Doha, Qatar pada Sabtu.

Menerusi hantaran di Facebook baginda, Tunku Mahkota Ismail hadir mewakili Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perbincangan bersama pengurusan tertinggi PSG.

Jelas baginda, pertemuan bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua kelab.

Ini termasuk aspek penjenamaan, pembangunan infrastruktur, serta program pembangunan akar umbi. 

Baginda turut berpeluang bertemu dengan para pemain PSG dan menerima jemputan untuk menghadiri perlawanan Trophee des Champions antara PSG dan AS Monaco di Doha Ahad malam.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Nasser, juga di Doha.

Jelas baginda, bakal ada perkara yang sudah semestinya membawa kelebihan dan keuntungan buat kedua-dua belah pihak.