KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneliti idea penubuhan badan bebas pengadil untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) seperti dilontarkan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail.

Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram dalam satu kenyataan hari ini menghormati teguran Pemangku Sultan Johor menerusi hantaran di laman X semalam, yang mahu melihat sebuah badan pengadil yang bebas dan bukan di bawah badan memayungi sukan nombor satu negara itu.

"FAM sangat menghargai semua teguran dan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail. FAM menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka," katanya.

Sivasundaram juga mengulas cadangan Tunku Mahkota Ismail supaya pasukan atau kelab yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil untuk melantik atau membayar pengadil luar negara bagi mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bayaran elaun pengadil, penginapan, makanan dan lain-lain perbelanjaan perlulah ditanggung oleh pasukan itu sendiri.

"FAM atau MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tidak akan menanggung kos penggunaan khidmat pengadil luar negara. Perlu diingat, kos untuk mendapatkan pengadil luar negara adalah sangat mahal dan perbelanjaannya dibayar dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (USD)," katanya.

Sivasundaram pada masa sama melahirkan rasa kagumnya terhadap barisan pengadil tempatan atas prestasi cemerlang sepanjang mengendalikan Liga-M musim ini, malah ada dalam kalangan mereka yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Beliau berkata FAM hanya menerima empat aduan bertulis daripada 161 perlawanan musim ini memandangkan barisan pengadil tempatan memiliki tahap pemahaman undang-undang permainan yang baik, serta tahap kecergasan tinggi dibantu dengan keberkesanan Video Assistant Referee (VAR).

"Seperti yang kita sedia maklum, Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Zairul Khalil Tan dan Mua'zi Zainai Abidin pernah bertugas di Piala Asia dan AFC Elite Champion League. Nazmi merupakan salah seorang calon pengadil Piala Dunia 2026.

"FAM juga memiliki sekumpulan pengadil muda dan berpotensi yang telah dididik melalui Projek Akademi Pengadil Profesional," katanya.

Antara pandangan lain diberikan Tunku Mahkota Ismail berhubung situasi Liga-M termasuk isu keadaan stadium dan padang yang dianggap tidak memuaskan dan isu kelewatan pembayaran gaji pemain serta sikap segelintir pengurusan pasukan yang dilihat tidak mengambil berat kebajikan kelab masing-masing.

Baginda juga mengkritik pihak tertentu yang lebih gemar memberi alasan dan mudah menyalahkan FAM serta MFL atas kelemahan sendiri.

-- BERNAMA