KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tegas dengan memecat pengadil Fitri Maskon daripada semua tugasan susulan prestasi lemah dalam aksi Piala MFL 2024/2025 antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC, Khamis lepas.

Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram berkata keputusan yang pertama kali dibuat itu diambil selepas perbincangan mendalam bersama kepimpinan tertinggi badan induk berkenaan.

"Walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat, ia perlu dijadikan pengajaran kepada semua pengadil.

"Keputusan memecat pengadil adalah tindakan pertama seumpamanya kerana sebelum ini, pengadil hanya digantung tugas. Ini satu isyarat jelas supaya pengadil lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab di atas padang," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Katanya berdasarkan laporan Penilai Pengadil, Fitri menunjukkan prestasi yang sangat lemah, sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sivasundaram berkata Unit Pengadil FAM turut membuat analisis perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh Fitri dalam perlawanan itu kurang tepat.

"Hasil analisis juga menunjukkan tambahan masa 15 minit yang diberikan pada akhir perlawanan adalah keterlaluan, menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri berakhir dengan keputusan berbeza.

"Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil telah mempengaruhi serta memberi impak ketara terhadap keputusan akhir perlawanan," katanya.

Sebagai rekod, dalam perlawanan liga Bawah 23 Tahun (B-23) itu, Selangor menang 2-1.

-- BERNAMA