Ringkasan AI
- Muhammad Syabil Hakimi Mohamad Subar, 27, maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Sungai Putat, berdekatan rumahnya.
- Ibunya, Jamilah Kamaldin, tidak menyangka bunyi bising dari arah jalan raya adalah kemalangan yang meragut nyawa anaknya.
- Arwah yang merancang bertunang tahun ini, disifatkan sebagai anak yang bertanggungjawab dan ringan tangan membantu adik-adiknya.
Suri rumah, Jamilah Kamaldin, 48, berkata, ketika itu dia berada di rumah menunggu kepulangan Muhammad Syabil Hakimi Mohamad Subar, 27, dari tempat kerjanya di Pasar Raya Aeon Ayer Keroh.
Menurutnya, kebiasaan dalam jam 10 hingga 10.30 malam anaknya telah pulang ke rumah, namun malam kejadian dia berasa pelik apabila arwah masih tidak pulang dan cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal.
Katanya, apabila arwah masih belum pulang, ditambah pula dengan bunyi bising tidak jauh dari rumah, membuatkan dirinya tidak sedap hati, lalu menghubungi suami yang sedang bekerja untuk segera pulang dan memaklumkan bunyi bising itu.
"Saya juga beritahu suami bunyi bising berdekatan rumah kerana jalan raya itu sering berlaku kes kemalangan.
"Tapi tak lama selepas itu, kawan arwah telefon dan minta kesahihan mengenai kemalangan maut yang menimpa anak saya," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, suaminya juga pergi ke lokasi kemalangan namun mayat arwah telah dibawa ke forensik.
Jamilah yang mengambil upah mengait benang berkata, ketika arwah pulang berbuka pada petang Sabtu iaitu beberapa jam sebelum kejadian, dia memberitahu tidak perlu membelikan baju raya dengan alasan tidak dapat beraya pada lebaran ini.
"Ketika itu saya tak syak apa-apa sebab fikir dia mungkin dia tak dapat cuti dan perlu bekerja pada hari raya.
"Lagipun sejak bekerja dengan pasar raya itu pada tahun 2018, kebiasaan 1 Syawal dia tak bercuti, tapi rupanya dia betul-betul tak beraya dengan kami bukan sahaja pada tahun ini, tapi selamanya," katanya lagi.
Jamilah berkata, arwah yang merancang bertunang pada tahun ini, disifatkan seorang anak yang bertanggungjawab malah ringan tangan termasuk membantu tiga adiknya yang masih belajar berusia 26, 22 dan 17 tahun.
"Dia pun sering bergurau dan menyakat adik-adiknya cuma sejak akhir-akhir ini dia lebih kerap bergurau.
"Walaupun sedih namun kami reda dengan ujian ini, dan perginya dia pada bulan Ramadan," katanya.
Jenazah Allahyarham Muhammad Syabil Hakimi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pondok Batang Nyalas, Jasin.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang pembantu jualan sebuah pasar raya maut dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang keluar dari simpang di Jalan Sungai Putat, di sini, pada Sabtu malam.
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu mangsa menunggang motosikal Yamaha MT-25 maut tercampak di atas MPV Toyota Vellfire itu dan lebih memilukan nahas berlaku kira-kira 650 meter dari jarak rumah mangsa. -Sinar Harian
