KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata beliau dan keluarga mendoakan agar Sultan Ibrahim yang juga Yang di-Pertuan Agong bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan.

"Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim, Yang di-Pertuan Agong. Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor.

"Daulat Tuanku. Sembah patik bersama seluruh ahli keluarga, kakitangan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta seluruh kepimpinan dan ahli-ahli UMNO," katanya yang juga Presiden UMNO.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi turut merafak sembah ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Dalam catatan di laman Facebooknya, Fahmi mendoakan agar Sultan Ibrahim, Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberi keafiatan dan sentiasa dilimpahi kedaulatan yang penuh.

-- BERNAMA