KUALA LUMPUR: Banduan pertama yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) semasa di dalam penjara, diberi pengampunan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda, hari ini.

Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan Murad (bukan nama sebenar) yang memiliki PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, telah menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.

"Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara  yang bergelar Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook jabatan itu hari ini.

Waran pembebasan dibacakan Pengarah Penjara Kajang Preshahdin Monshee hari ini.

Semasa sesi pembebasan itu, Preshahdin  turut menasihatkan Murad untuk sentiasa mengamalkan disiplin, serta menggunakan ilmu yang ada dalam memajukan diri dan pihak jabatan sedia membantu sekiranya Murad memerlukan bantuan.

Murad, pada sesi berkenaan turut menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor di atas pengampunan baginda, serta Jabatan Penjara kerana memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.

Murad berkata dia akan mengenang segala jasa baik pihak jabatan dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya, agar dikembalikan dengan lebih sempurna.

-- BERNAMA