KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.6 juta bagi membantu 5,427 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di Wilayah Persekutuan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri menerusi program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa.


Ringkasan AI
  • MAIWP memperuntukkan RM1.6 juta untuk membantu 5,427 mahasiswa IPT pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
  • Bantuan meliputi tiket bas, tiket kapal terbang, dan wang saku untuk memastikan pelajar dapat menyambut hari raya bersama keluarga tanpa terbeban dengan kos perjalanan.
  • MAIWP juga memperuntukkan RM18 juta bagi inisiatif Foodtruck MAIWP yang menyediakan makanan percuma kepada mahasiswa di 11 universiti sekitar Wilayah Persekutuan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan itu meliputi pembelian tiket bas, tiket kapal terbang, dan wang saku bagi memastikan pelajar dapat menyambut hari raya bersama keluarga tanpa terbeban dengan kos perjalanan.

Menurutnya, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Rahmah Madani Ramadan yang bertujuan memastikan kebajikan pelajar, khususnya daripada keluarga B40, terus terjaga.

“Alhamdulillah, MAIWP telah menyumbangkan RM1.6 juta untuk membiayai kos perjalanan mahasiswa, khususnya mereka dalam kategori asnaf.

"Kita mahu mereka dapat pulang berhari raya dengan ibu bapa tanpa perlu risau tentang kewangan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelepasan pelajar di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) malam tadi.

Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika upacara pelepasan bas para pelajar yang pulang beraya ke negeri masing-masing. - Gambar MAIWP

Sebanyak 19 bas dengan seramai 646 pelajar dilepaskan secara simbolik dalam program berkenaan, melibatkan tujuh IPT iaitu UTMKL, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur (UKMKL) dan Kolej Islam Antarabangsa (KIA).

Selain itu, MAIWP turut memperuntukkan RM18 juta bagi inisiatif Foodtruck MAIWP yang menyediakan makanan percuma kepada mahasiswa di 11 universiti sekitar Wilayah Persekutuan.

“Sebanyak 150 pax makanan disediakan setiap sesi. Sebelum Ramadan, 190 pek makanan diberikan setiap hari sebagai hidangan tengah hari.

"Pada bulan puasa ini, bantuan itu diteruskan sebagai juadah berbuka,” katanya.

Datuk Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada pembayar zakat yang menjayakan inisiatif ini dan berharap lebih ramai tampil menunaikan kewajipan zakat bagi membantu pelajar serta golongan memerlukan.

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ceria menaiki bas sambil mengibarkan bendera UTM sebelum memulakan perjalanan. - Gambar MAIWP

“Semoga dengan bantuan ini, mahasiswa dapat fokus kepada pelajaran mereka tanpa perlu bimbang tentang kewangan.

"Saya doakan mereka selamat pulang ke kampung dan kembali ke kampus dengan semangat baharu untuk mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.