KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai penglibatan dua pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya dalam aksi pembukaan Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, bergantung kepada pertimbangan barisan kejurulatihan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mengesahkan kehadiran dua pemain itu, namun menegaskan penglibatan mereka dalam perlawanan sebenar bergantung kepada prestasi semasa, keserasian dengan pasukan serta keperluan taktikal.

"Setakat ini kita memang ada dua pemain warisan yang dah mula berlatih dengan pasukan, tapi pada hari perlawanan itu terpulang kepada jurulatih untuk buat pilihan sama ada dia bermain atau pun tidak.

"Pemain-pemain yang hadir ini, semua daripada tahap yang tinggi. Kita akan terus tengok dan lihat (prestasi) mereka dengan pasukan kebangsaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa FAM 2025 di sini, semalam.

Malaysia di bawah kendalian Peter Cklamovski akan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa depan, yang juga merupakan aksi sulungnya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih.

Rabu lepas, Hector Hevel kelahiran Belanda dan Gabriel Palermo dari Sepanyol diperkenalkan sebagai dua pemain warisan terbaharu skuad Harimau Malaya, selain turut menyertai sesi latihan pasukan pada sebelah malam di Johor Bahru.

Hevel, 28, merupakan pemain tengah kelab liga divisyen dua Portugal Portimonense S.C sementara Palmero, 23, yang beraksi di bahagian pertahanan bermain untuk kelab divisyen tiga Sepanyol Tenerife B.

Sementara itu, Mohd Joehari berkata Malaysia tidak berdepan sebarang halangan dalam mendapatkan khidmat pemain warisan atau naturalisasi jika ia dapat memberi manfaat kepada pasukan.

"Dalam jangka masa pendek, apa-apa pun boleh berlaku, jadi kalau kita perlu untuk mengambil pemain warisan ataupun naturalisasi untuk kuatkan pasukan itu tiada masalah bagi kita, tiada masalah bagi Malaysia untuk dapatkan khidmat-khidmat itu," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Joehari menegaskan bahawa tumpuan utama FAM ketika ini adalah memperkukuh pembangunan bola sepak negara dengan kembali kepada asas dalam melaksanakan program yang terbaik.

Beliau berkata FAM sedang merangka modul program pembangunan yang akan diperkenalkan di peringkat negeri, selain akan mengadakan jelajah ke setiap negeri untuk bertemu dengan ahli gabungan bagi tujuan pemantauan dan pelaksanaan menyeluruh.

"Sekarang saya menekankan bahawa program akar umbi akan diperkasakan dengan lebih giat kerana matlamat utama ialah membentuk sebuah pasukan yang bakal dibarisi sepenuhnya oleh pemain tempatan," katanya.

-- BERNAMA