Beliau berkata pengalaman luas Datuk Dollah Salleh yang dipilih Naib Presiden dan Datuk Zainal Abidin Hassan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) menjadi aset penting dalam memperkasa perancangan dan hala tuju FAM, selain membawa pembaharuan diperlukan.
Menurut Jamal Nasir dengan kepimpinan baharu FAM di bawah teraju Presiden Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, kedua-dua bekas tonggak Harimau Malaya itu mampu menyumbang idea efektif bagi meningkatkan pembangunan bakat muda sekali gus memperbaiki prestasi skuad kebangsaan.
"Saya ucapkan tahniah kepada semua terutamanya bekas pemain Malaysia yang terpilih sebagai Naib Presiden dan Exco. Ini perubahan yang amat baik apabila ada bekas pemain ditonjolkan dalam hierarki FAM.
"Saya harap mereka dapat memberikan buah fikiran membina untuk menaikkan imej bola sepak Malaysia yang kita tengok masih tidak menentu," kata bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan era 70-an dan 80-an itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Jamal berkata kepimpinan baharu badan induk sukan itu perlu membawa perubahan drastik menerusi pendekatan menyeluruh dan sistematik bagi memantapkan pasukan kebangsaan termasuk skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.
Beliau turut menyuarakan harapan untuk melihat peningkatan menyeluruh struktur bola sepak Malaysia merangkumi pembangunan bakat yang lebih sistematik, pengurusan liga lebih profesional serta kemajuan teknikal selaras standard antarabangsa.
"Kepimpinan baharu FAM ini sudah tahu kelemahan lepas, jadi bila ada perubahan (kepimpinan) kita nak juga lihat perubahan dalam segenap struktur," katanya.
Pada kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 semalam, Mohd Joehari diumum presiden baharu menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan utama itu.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram masing-masing mempertahankan jawatan apabila turut diumumkan menang tanpa bertanding.
Dollah pula antara tiga muka baharu yang mengisi empat jawatan Naib Presiden manakala Zainal mengisi kekosongan lapan jawatan bagi Exco lelaki, dengan kedua-duanya meraih antara undian tertinggi.
Sebagai rekod, Dollah pernah menjadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya dan membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF Suzuki yang kini dikenali sebagai Piala ASEAN pada 2014.
-- BERNAMA
