PUTRAJAYA: Kerajaan merancang membina lapan lagi pusat pemindahan kekal (PPK) yang lengkap dengan kemudahan asas selesa di seluruh negara untuk kegunaan mangsa banjir.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ia susulan pihaknya telah berjaya melengkapkan kerja ubah suai dan baik pulih sebuah dewan di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini untuk dijadikan PPK.

"Dewan ini telah siap diubah suai dan dibaik pulih, lengkap dengan tandas dan bilik air yang selesa, kini dewan berkenaan boleh menempatkan kira-kira 400 mangsa banjir berbanding 190 mangsa sebelum ini dan pada monsun timur laut (MTL) ini ia boleh digunakan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti, dekat sini, pada Jumaat.

Khairul Shahril berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi untuk pembinaan PPK berkenaan antaranya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Johor dan Perak.

Urusan projek berkenaan, katanya, telah memasuki peringkat tender dengan Sabah dan Sarawak dikendalikan oleh kerajaan negeri manakala negeri lain oleh Jabatan Kerja Raya dan dijangka mengambil masa hingga 15 bulan untuk dibina.

Khairul Shahril berkata, kos pembinaan PPK berkenaan dianggarkan menelan belanja hingga RM5 juta sebuah.

"PPK ini akan dibina berhampiran sekolah bagi membolehkan pelajar sekolah menggunakan kemudahan ini semasa luar musim banjir.

"Pembinaan PPK ini ialah rancangan bagi fasa pertama agar tiada lagi sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir," katanya.

Sementara itu, dalam taklimatnya semasa sesi libat urus berkenaan, Khairul Shahril berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu agensi berkenaan dalam menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mangsa banjir pada musim MTL ini.

Beliau berkata, NGO yang berminat boleh berdaftar dengan pihaknya melalui aplikasi Rakan NADMA agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap untuk mengelakkan pembaziran.

"Melalui aplikasi itu juga NGO yang terlibat boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yang diperlukan di sesebuah kawasan dilanda banjir selain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan," katanya. - BERNAMA