KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Mesir dari 9 hingga 12 November ini atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Turut menyertai delegasi Anwar ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Semasa di sini, Anwar akan disambut secara rasmi oleh Presiden Sisi diikuti dengan mesyuarat dua hala bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan bersama antara Malaysia dan Mesir.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian berkata, fokus utama perbincangan dua pemimpin itu akan melibatkan peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, serta peralihan tenaga.

“Selain itu, ia akan turut merangkumi isu-isu keselamatan makanan dan kelestarian alam,” kata beliau dalam satu sidang media bersama wakil media Malaysia di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa, terutamanya mengenai konflik di Palestin.

Perdana Menteri Anwar dan Presiden Sisi juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan Al-Azhar Al-Sharif bagi kerjasama akademik di Fakulti Ulum Islamiah serta MoU antara Malaysia dan Mesir dalam hal-ehwal Islam.

Sebagai sebahagian daripada jadual lawatannya, Tarid berkata, Anwar juga akan menyampaikan ceramah di Universiti Al-Azhar serta mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Kaherah.

Tidak ketinggalan, kata Tarid, Perdana Menteri juga dijangka akan menghadiri sesi libat urus bersama kapten-kapten industri tempatan dan merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga di Mesir.

Lawatan ini disifatkan sebagai langkah bersejarah yang dijangka mengukuhkan hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Mesir memandangkan ini merupakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Mesir kini merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan nilai dagangan mencapai RM3.35 bilion pada tahun 2023.

“Malah, jika dilihat antara tempoh Januari hingga September tahun ini, jumlah nilai dagangan sudah mencapai RM3 billion dan dijangka bakal melepasi nilai keseluruhan tahun lepas.

"Ia merupakan peningkatan sebanyak 21.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023,” kata Tarid lagi.