BAKU (Azerbaijan): Penyertaan Malaysia pada Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) di bawah Konvensyen Kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim memberi kemajuan ketara kepada matlamat pelepasan karbon sifar bersih, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, menerusi kerjasama kukuh dan perkongsian strategik, Malaysia telah membuka beberapa inisiatif inovatif dan pelaburan besar untuk membolehkan Malaysia melangkah lebih jauh ke arah menjadi negara pelepasan karbon sifar bersih.

"Kami bersungguh-sungguh untuk membina momentum ini dengan perjanjian antara pemain utama, seperti penubuhan Persatuan Pasaran Karbon, kerjasama antara BoomGrow dengan Azerbaijan, Memorandum Kerjasama antara negeri Johor dengan bandar Saitama, Jepun, dan Perjanjian Rangka Kerja Citaglobal Bhd dengan Pelabuhan Baku," katanya pada majlis penutup Pavilion Malaysia, di sini, pada Khamis.

Nik Nazmi berkata, Pavilion Malaysia bertemakan Shift for Sustainability: Climate Action Now! menerima lebih 1,400 pelawat dari seluruh dunia, memberi peluang kepada mereka menyertai pembentangan mendalam, perbincangan pakar serta pameran inovasi tenaga bersih yang mencerminkan dedikasi Malaysia dalam memupuk kerjasama global dalam tindakan iklim.

"Penglibatan lebih 80 organisasi terkemuka Malaysia menggambarkan komitmen kolektif untuk meletakkan negara sebagai peneraju dalam peralihan global kepada tenaga boleh baharu," katanya.

Beliau berkata, COP29 bukan sekadar persidangan, tetapi merupakan pelancaran usaha berterusan untuk memajukan inisiatif ketahanan iklim, peralihan tenaga dan kelestarian alam sekitar ASEAN secara kolektif.

"Ia titik permulaan luar biasa kepada kerjasama rentas sempadan dan tindakan iklim bersama, membolehkan kita menetapkan kebersamaan untuk pembangunan dan pertumbuhan dalam bidang ini, menggalakkan tanggungjawab dan langkah yang boleh diambil ke arah matlamat iklim kita," katanya.

Nik Nazmi berkata, tema Pavilion Malaysia selaras dengan peranan kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam kelestarian dan penjagaan alam sekitar.

"Kita ialah sebahagian daripada keluarga global dan semua pihak mesti menyumbang kepada keselamatannya. Kita mengulangi komitmen terhadap kelestarian alam sekitar di seluruh rantau ini dan akan mencadangkan usul mengenai perkara itu, terutamanya dalam mengurangkan sisa plastik menjelang kepengerusian ASEAN tahun depan," katanya.

Malaysia, katanya, berada di landasan tepat untuk memacu kerjasama signifikan, menyokong tindakan kolektif dan tanggungjawab bersama dalam mencapai matlamat tindakan iklim.

"Berpandukan Visi Komuniti ASEAN 2045, pengurangan pelepasan melalui mekanisme pasaran karbon semakin mendapat tarikan dalam kalangan negara anggota ASEAN," katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata, daripada Matlamat Kuantitatif Kolektif Baharu (NCQG), Matlamat Global mengenai Adaptasi dan pengoperasian Dana Kerugian dan Kemusnahan, Malaysia telah dan akan terus menyokong pendekatan seimbang untuk pembiayaan, adaptasi dan mekanisme kerugian dan kemusnahan, dengan kerjasama serantau melalui ASEAN sebagai tonggak utama.

"Mengutamakan pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris, antara inisiatif iklim global lain, kita berharap dapat menerajui inisiatif yang mengukuhkan suara bersama dalam penyelesaian iklim global, menyediakan peluang dalam memacu usaha serantau terhadap iklim, kerjasama ekonomi dan keselamatan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata, walaupun Pavilion Malaysia ditutup, namun kerjasama, inovasi dan pertukaran yang telah dijalin dalam COP29 akan diteruskan.

"Saya harap kita meninggalkan Baku bukan sahaja dengan sekutu dan pengetahuan baharu, tetapi juga dengan keazaman dan harapan yang lebih kuat untuk menangani perubahan iklim.

"Saya ingin bertemu anda semua di Brazil tahun depan (COP30). Marilah kita bersama-sama bergerak ke hadapan untuk memastikan Malaysia bukan sahaja memenuhi komitmen iklim, tetapi turut menunjukkan contoh di pentas global," katanya.

Nik Nazmi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada COP29 - daripada pembuat dasar dan kerajaan negeri, kepada peneraju industri dan penyokong masyarakat.

Penyertaan Malaysia dalam COP29 dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku bertujuan memperkukuh komitmen terhadap ekonomi hijau seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025.

Nik Nazmi mengetuai delegasi 200 rakyat Malaysia ke acara itu. Pavilion Malaysia ialah kerjasama antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Pavilion Malaysia pada COP29 merupakan platform dinamik, menganjurkan perbincangan panel dan menampilkan pandangan daripada lebih 170 penceramah, ahli panel dan moderator.

-- BERNAMA