"Orang sudah muak dan hilang kepercayaan," kata Jasper Inventor, ketua delegasi Greenpeace mengenai perbincangan COP29, dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan perjanjian agar negara kaya menyediakan AS$300 bilion kepada negara miskin untuk keperluan iklim mereka sebagai "sangat tidak mencukupi" sambil menambah beliau dan yang lain akan menantikan COP30, persidangan tahun depan di Belem, Brazil, bagi memperbaiki perjanjian itu. "Kami tidak akan berputus asa," katanya.
Pakar politik iklim Greenpeace, Tracy Carty berkata matlamat pembiayaan itu tidak memberikan sebarang jaminan pinjaman atau pembiayaan swasta yang akan menanggung kos itu, sebaliknya daripada "pembiayaan awam berasaskan geran yang amat diperlukan oleh negara membangun." Beliau dan pihak lain di Greenpeace menggesa agar industri bahan api fosil yang harus membayar.
Fred Njehu, ahli strategi politik pan-Afrika untuk Greenpeace Afrika, mengeluarkan beberapa reaksi paling keras, menyifatkan perjanjian itu sebagai "kolonialisme iklim."
Beliau membandingkan AS$1.3 bilion itu seumpama menawarkan kepada seseorang "sebuah pipet untuk mengisi lautan."
"Keadaan itu seumpama mereka mengakui yang seseorang memerlukan sebuah takungan penuh air untuk terus hidup, kemudian memberikan mereka penitis mata dan berkata, 'Selamat berjaya!'"
Namun, terdapat sedikit keyakinan di kalangan delegasi Greenpeace di konvensyen itu.
Maarten de Zeeuw, yang berkempen bagi isu iklim dan tenaga dari Greenpeace Belanda, menyatakan COP29 bersetuju untuk membangunkan pelan tindakan bagi meningkatkan pembiayaan pada mesyuarat tahun depan.
"Ini mesti menjadi pelan tindakan untuk memastikan negara pencemar membayar," katanya.
Sementara itu, beberapa negara juga berang kerana kompromi yang dicapai pada awal pagi Ahad di sidang kemuncak COP29.
Wakil Nigeria menggambarkan permintaan AS$300 bilion yang diminta setiap tahun daripada negara perindustrian sehingga 2035 sebagai "jenaka" dan "penghinaan".
Wakil India membantah dengan menyatakan yang mereka tidak boleh bersetuju dengan keputusan itu kerana komitmen yang dibuat terlalu rendah.
"Kami tidak dapat menerima hal ini."
Kritikan itu tidak dapat mengubah perjanjian, yang tetap sah. Bagaimanapun, komen tersebut kemungkinan akan dimasukkan ke dalam rekod.
Pada Persidangan Iklim Dunia PBB, tuan rumah Azerbaijan dengan segera mengesahkan teks penting itu, menyebabkan beberapa negara berasa diketepikan dan diabaikan.
Seorang wakil Bolivia meluahkan rasa kecewa apabila negara membangun terpaksa menghadapi kesulitan krisis iklim sendirian. Beliau menyifatkan ini adalah era yang setiap orang (negara) hanya akan mementingkan diri sendiri. Beliau berkata negar perindustrian mempunyai tanggungjawab sejarah terhadap pemanasan global, dan bantuan iklim oleh mereka oleh itu bukanlah tindakan derma, "tetapi kewajipan dari segi undang-undang".
Namun, Pesuruhjaya Iklim EU Wopke Hoekstra, mempertahankan keputusan itu. Beliau berjanji "era baharu dalam pembiayaan iklim sedang bermula" dan Kesatuan Eropah akan terus memainkan peranan utama, kata warga Belanda itu.
-- BERNAMA