Berucap ketika menyampaikan kenyataan negara di Persidangan Perubahan Iklim (COP29) di sini pada Selasa, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata inisiatif yang dilakukan kerajaan disokong dengan pengenalan Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara.
Menurut Nik Nazmi, dasar itu itu akan meningkatkan tadbir urus kerajaan dan memudahkan usaha komitmen pematuhan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Paris.
“Langkah legislatif ini bertujuan memperkukuhkan keupayaan Malaysia dalam memenuhi komitmen Perjanjian Paris serta membolehkan pemantauan dan pelaksanaan inisiatif iklim yang lebih berkesan” kata Nik Nazmi.
Selain itu pengenalan Cukai Karbon yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini merupakan tindakan berani yang dilakukan kerajaan.
"Cukai karbon ini merupakan langkah penting untuk mengawal pelepasan karbon dan menggalakkan amalan yang lebih lestari dalam kalangan industri," katanya.
Dalam ucapan yang sama, Nik Nazmi turut menggesa negara maju meningkatkan pembiayaan dana perubahan iklim bagi memudahkan negara membangun melaksanakan insiatif perubahan iklim yang lebih berkesan.
COP29 yang berlangsung di sini sehingga 22 November ini dijangka akan memuktamadkan kerangka dan mekanisme pembiayaan kewangan perubahan iklim yang lebih inklusif buat negara membangun dan maju.