KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ingin merujuk kepada siaran media oleh Rimbawatch yang menyentuh beberapa aspek berkenaan penyertaan Malaysia semasa Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP29) yang baru-baru ini diadakan di Baku, Azerbaijan.

Kementerian ingin memberikan penjelasan berikut terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

PENYERTAAN SYARIKAT BAHAN API FOSIL

Menurut apa yang digambarkan sebagai "analisis pantas senarai delegasi Malaysia di COP29 yang diterbitkan oleh UNFCCC", Rimbawatch mendakwa Malaysia telah menghantar 151 delegasi yang mewakili kepentingan perniagaan, di mana 44 merupakan "wakil syarikat yang mempunyai pelaburan yang signifikan dalam pengembangan bahan api fosil, atau yang merupakan sebahagian daripada badan-badan perdagangan yang mewakili kepentingan bahan api fosil, dan menjadikan mereka kumpulan terbesar dalam delegasi korporat".

Pengkategorian syarikat bahan api fosil menurut Rimbawatch adalah seperti berikut: Tenaga Nasional Berhad (TNB)(17), Yinson (2), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)(4), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)(5), Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC)(1) dan Sarawak Energy Berhad (SEB)(14).

Perlu diingatkan bahawa PETRONAS telah memberi komitmen kepada usaha untuk mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050 dengan melabur dalam perniagaan-perniagaan baharu yang melibatkan tenaga yang boleh diperbaharui dan rendah karbon. Sementara itu, penglibatan TNB sebagai sebuah syarikat elektrik multinasional yang berpusat di Malaysia pula memainkan peranan utama dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), satu komponen utama dalam strategi sifar bersih negara menjelang 2050.

Kedua-dua TNB dan PETRONAS (melalui Gentari) juga terlibat dalam pelaburan besar berkaitan tenaga boleh diperbaharui di seluruh dunia. Oleh itu, pengkategorian mereka sebagai "pelobi bahan api fosil" oleh Rimbawatch adalah tidak tepat. Harus juga dinyatakan bahawa kehadiran kedua-dua syarikat ini ke COP29 diwakili oleh bahagian pembangunan lestari syarikat-syarikat tersebut.

Secara umum, NRES tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap penyertaan mana-mana entiti yang berwibawa untuk ke COP, kerana Malaysia mengamalkan pendekatan "whole-of-nation" dalam menangani isu perubahan iklim. Semua syarikat yang diwakili ini juga terlibat dalam pelaksanaan dasar kerajaan, terutamanya NETR, dan lain-lain dasar yang menyumbang kepada usaha mencapai sasaran iklim yang ditetapkan negara. Adalah penting untuk tiada sektor dalam negara kita dikecualikan daripada penyertaan atau tanggungjawab dalam perjuangan menentang perubahan iklim, termasuklah sektor swasta.

Juga perlu ditekankan bahawa Malaysia telah mengumumkan komitmennya kepada Konsensus UAE untuk beralih daripada bahan api fosil. Kerajaan tahun ini juga telah komited kepada sasaran sifar bersih yang lebih bercita-cita tinggi iaitu -menjelang 2050-. Pada masa yang sama, kerajaan juga berpendirian bahawa proses peralihan ini mesti dijalankan dengan adil dan saksama dan bukan hanya menghukum negaranegara membangun.

NRES juga ingin menjelaskan bahawa delegasi korporat ini tidak terlibat dalam rundingan yang melibatkan ahli-ahli Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim yang hanya melibatkan negara-negara berdaulat. Hanya delegasi yang relevan daripada Kerajaan Malaysia bersama para perunding sahaja yang diberikan pas.

Semasa COP29, pasukan perunding Malaysia telah diberikan mandat yang mengambil kira pendirian pihak awam, swasta dan organisasi masyarakat sivil (CSO). NRES juga telah berunding rapat dengan Panel Penasihat dan Perunding Perubahan Iklim (yang terdiri daripada sektor swasta dan masyarakat sivil) sebelum COP29 bagi membincangkan pendirian Malaysia di persidangan tersebut.

PENYERTAAN CSO DAN ISU PEMBERIAN PAS LIMPAHAN

Rimbawatch juga mendakwa bahawa tidak ada sebarang wakil daripada CSO yang diketuai oleh masyarakat Orang Asli, atau CSO yang memberi tumpuan kepada hal ehwal Sabah dan Sarawak yang diberikan pas limpahan (overflow badge) untuk menghadiri persidangan tersebut.

NRES ingin menjelaskan bahawa kebanyakan delegasi yang memegang pas Party Overflow Badges ini terlibat dalam program di bawah Malaysia Pavilion, yang merangkumi sejumlah 45 sesi selama dua minggu. Mereka juga turut menyertai pavilion-pavilion negara lain yang utamanya bertemakan peralihan tenaga dan menangani perubahan iklim dalam sektor tenaga.

Pihak Sekretariat telah memberikan pas kepada delegasi yang relevan sahaja berdasarkan tema perundingan yang telah diberikan mandat oleh Kerajaan.

NRES sentiasa menawarkan pas kepada ahli masyarakat sivil dan individu yang berminat untuk menghadiri COP. Semakan awal oleh pihak Sekretariat mendapati bahawa hanya CSO berikut sahaja yang membuat permohonan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), C40 Cities Climate Leadership Group, Malaysian Youth Delegation, Energy Action Partners, Global Environment Centre (GEC), Sahabat Alam Malaysia (ALAM), Youths United For Earth (YUFE), and Yayasan Hasanah.

Harus diingatkan bahawa pendaftaran untuk pas limpahan yang diberikan kepada individu atau mana-mana entiti adalah berdasarkan konsep "first come, first serve" mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh UNFCCC. Pada masa yang sama, terdapat juga had kepada jumlah delegasi yang ditetapkan oleh penganjur.

KESIMPULAN

Oleh itu, isu seperti kehadiran atau dakwaan ketiadaan organisasi tertentu dalam delegasi Malaysia di COP29 tidak boleh dianggap sebagai sokongan kepada manamana agenda yang melebihi matlamat iklim negara yang telah diketahui umum dan dinyatakan secara meluas.

NRES mengambil maklum perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Rimbawatch dan entiti-entiti lain dan akan terus memperbaiki segala proses yang relevan menjelang COP30 di Belem, Brazil kelak.



KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM (NRES)
22 NOVEMBER 2024